Memaparkan berita aktiviti terkini sekolah terutama di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Murid

28 May 2010

TAK FAHAM.....


28 MEI 2010- Tak faham dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir warga SMKTA, terutama pelajar tingkatan empat. Mengapa gemar sangat keluar dan ponteng sekolah selepas waktu rehat? Mereka-mereka ini ada yang telah dipanggil penjaga ke sekolah, ada yang sudah digantung sekolah dan sudah menandatangani surat perjanjian berkelakuan baik. Malah salah seorang yang saya panggil juga berambut ala Punk, yang bertentangan dengan peraturan disiplin sekolah. Apakah sebabnya? Masih tidak cukup taklimat yang diberi? Masih tidak ingin akur dengan ingatan setiap kali perhimpunan? Entahlah...mungkin lama-lama jadi bosan nak layan.

USAHA BERTERUSAN MENCERIAKAN SMKTA



SMKTA- susulan daripada Aktiviti Gotong Royong Perdana pada 15 Mei yang lalu, usaha menceriakan SMKTA tidak terhenti setakat itu sahaja. Proses menceriakan SMKTA diteruskan dengan mengecat pagar sekolah serta membuat mural di beberapa bangunan. Kerjasama semua warga sekolah terutama semua pekerja awam sekolah melancarkan lagi usaha ini.

19 May 2010

PEMANTAUAN KELAS PERSEDIAAN



19 MEI 2010-Jam 9.30 malam, GPK HEM telah membuat pemantauan kelas persediaan di asrama. Ketika masuk ke Dewan Makan, seorang pelajar tingkatan satu dijumpai berada di bawah meja sedang asyik lagi kusyuk membaca surat cinta. Kemudian GPK HEM ke kelas tingkatan empat. Seorang pelajar tingkatan empat dikesan lena dibuai mimpi. Di kelas tingkatas 6 Bawah pula keadaan agak bising. Apabila ditanya alasan mereka ialah masih belum banyak homework kerana baru mula belajar.

Kesempatan ini juga digunakan untuk mendapatkan pandangan pelajar berkaitan keselesaan di asrama, kerosakan peralatan dan kemudahan,penyediaan makanan dan kebersihannya serta masalah-masalah lain. Purata pelajar berpuashati, tiada kerosakan kecuali water cooler di dewan makan yang tidak lagi berfungsi sejak hari Jumaat 14 Mei 2010.

Hasil pemantauan tersebut, rumusannya, pelajar asrama SMKTA menggunakan waktu kelas persediaan malam dengan baik dan berkualiti. Kebanyakan pelajar menyiapkan homework dan mengulangkaji kerana peperiksaan akan bermula minggu hadapan, 24 Mei 2010.

MASIH BAWA HANDPHONE KE SEKOLAH


19 MEI 2010- Pemeriksaan "spotcheck" dijalankan ke atas kelas tingkatan dua oleh Badan Disiplin SMKTA, diketuai oleh En. Abdullah Sani bersama-sama lima orang guru lelaki dan guru perempuan. Spotcheck yang bermula jam 3.30 petang selama lebih kurang satu jam telah mengesan beberapa barang yang dibawa oleh pelajar yang menyalahi peraturan sekolah. Antaranya dua buah telefon bimbit yang dirampas daripada dua orang pelajar perempuan.

Harapan pihak sekolah, terutama Badan Disiplin SMKTA agar pelajar dapat mematuhi peraturan barang-barang larangan yang menjadi sebahagian peraturan sekolah.

BARANG LARANGAN SELAIN TELEFON BIMBIT
 Segala bahan dan barangan yang berkaitan dengan tembakau untuk tujuan HISAPAN
 Segala bahan dan barangan yang dikategorikan sebagai dadah atau berkaitan dengan penyalahgunaan dadah
 Bahan-bahan yang dikategori sebagai arak atau bahan memabukkan samada diminum, dimakan, dihidu atau sebarang cara yang boleh memabukkan
 Segala bentuk dan jenis barangan yang dikategorikan sebagai senjata, sama ada berbahaya atau tidak berbahaya atau palsu yang menyerupai barangan asli
 Barangan yang dikategorikan sebagai bahan berbentuk permainan dan perjudian, samada yang dibeli atau buatan sendiri
 Bahan media hiburan audio-visual, samada berbentuk CD, DVD, MP3, majalah, komik dan seumpama dengannya
 Bahan lucah dalam segala bentuk atau barangan yang tidak bersesuaian, atau barangan kegunaan orang dewasa
 Segala bentuk peralatan pertukangan atau dikategorikan sebagai spanar, cat, cat “spray” dan peralatan untuk kegunaan alat ganti basikal atau kenderaan
 Bahan-bahan dan peralatan persolekan seperti gincu, bedak, minyak rambut atau gel.
 Barangan aksesori seperti gelang tangan, anting-anting, rantai leher atau barangan yang dilekatkan pada pakaian dan badan.


Pihak sekolah juga telah dua kali mengedarkan surat berkaitan peraturan mengharamkan telefon bimbit di SMKTA kepada semua penjaga.


SURAT YANG TELAH DIEDARKAN KALI PERTAMA:

Ruj.Kami: SMKTA 02/04/11 ( 73 )
TARIKH: 13 HB SEPTEMBER 2007

Kepada,

Semua Ibu-bapa, Penjaga Murid SMKTA

Tuan/Puan,

MAKLUMAN BERKAITAN LARANGAN MEMBAWA DAN MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH DAN DI ASRAMA

Merujuk kepada perkara di atas, sukacita dimaklumkan pihak sekolah sekali lagi memaklumkan tentang MEMBAWA DAN MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH DAN DI ASRAMA.

2. Sepanjang awal tahun 2007 sehingga Akhir Ogos 2007, pihak sekolah mendapat banyak kes berkaitan penggunaan telefon bimbit yang memberi kesan negatif kepada murid dalam proses pembelajaran, pemantapan disiplin dan sahsiah, serta kesan kepada pencapaian akademik.(Sila rujuk lampiran yang disertakan: Masalah Penggunaan Telefon Bimbit di SMKTA)

3. Sehubungan dengan itu pihak sekolah amat berharap pihak ibu-bapa/penjaga/tuan/puan dapat memberi perhatian,memantau serta memastikan anak/murid di bawah jagaan tuan/puan tidak membawa telefon bimbit ke sekolah dan ke asrama.

4. Pihak sekolah juga akan mengambil tindakan tegas dengan MEMULANGKAN SEMULA TELEFON BIMBIT YANG DIRAMPAS PADA HARI TERAKHIR PERSEKOLAHAN mengikut peraturan BARANG LARANGAN yang terdapat dalam Buku Peraturan Sekolah, serta dikenakan penalti DEMERIT 10 MATA.

5. Sekian. Perhatian daripada pihak tuan/puan amatlah diharapkan dan didahului ucapan terima kasih.



“AKHLAK TERPUJI PEMANGKIN KECEMERLANGAN”

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,



(HAJAH NAJUAH BINTI ABDUL MANAF)
Pengetua,
SMK Tengku Abdullah, Pekan.

CATATAN: Peraturan ini telah diusulkan dalam Mesyuarat PIBG dan diluluskan.

18 May 2010

MESYUARAT ALK KOPERASI SMKTA SESI 2010/2011



18 MEI 2010- Mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi SMKTA sesi 2010/2011 diadakan di Bilik Gerakan SMKTA jam 11.00 pagi. Antara yang hadir ialah ALK Guru yang baru dilantik oleh pihak sekolah, serta ALK Pelajar. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh GPK Hem selaku Pengerusi Koperasi antaranya membincangkan senarai tugas ALK serta aktiviti yang dirancangkan. Antara aktiviti segera yang perlu dilaksanakan ialah sambutan Hari Koperasi Sekolah yang dirancangkan pada 23 Jun 2010. Turut dibincangkan proses pengubahsuaian serta penambahan rak di kedai koperasi yang menerima bantuan sebanyak
RM 20,000.00 daripada SKM.

15 May 2010

REBUTAN WARGA SMKTA.......



Seruan penggunaan ICT oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ternyata dapat dilihat di SMKTA. Ramai guru yang berebut-rebut menggunakan kemudahan di makmal komputer. Penggunaan yang maksima ini jelas dengan penuhnya tempahan di White Board tempahan di dalam makmal komputer.

Antara pengguna tetap makmal komputer ialah guru tingkatan enam, terutama guru mata pelajaran sejarah dan pengajian perniagaan. Bagi mata pelajaran ICT, sememangnya makmal komputer menjadi "kelas mereka".

Terkini, bagi memenuhi permintaan guru-guru SMKTA, Pusat Sumber Sekolah turut menyediakan kemudahan LCD. Bagi guru mata pelajaran BM tingkatan 5, En. Mutalif bin Sijan, bengkel MPV menjadi pilihan. Ternyata, guru-guru SMKTA pandai memanfaatkan ruang dan peluang untuk menggunakan ICT dalam proses P&P mereka.

Makmal komputer SMKTA juga turut diminati oleh pelajar. Kemudahan penyaman udara yang disediakan dapat menjadi suasana pembelajaran mereka lebih selesa dan kondusif. Kemudahan internet yang tidak berfungsi sejak awal Januari 2010 juga bukan penghalang kepada guru dan pelajar SMKTA mengunjungi Makmal Komputer SMKTA.

GOTONG-ROYONG PERDANA SMKTA 2010







15 Mei 2010-Program Gotong-Royong Perdana SMKTA 2010 diadakan sempena sambutan Hari Guru 2010. Penyertaan program ini terbuka kepada semua warga SMKTA serta ibu bapa melalui penglibatan PIBG. Program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Majlis Daerah Pekan (MDP) yang membantu kerja-kerja memotong dahan pokok. Program ini dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Keceriaan Sekolah, dibawah kendalian Puan Salmiah binti Uyob dengan dibantu oleh AJK yang dibentuk.

Sebagai menghargai kehadiran semua warga SMKTA dan juga pihak-pihak lain yang sudi bersama, jamuan ringan disediakan. Program yang bermula jam 7.30 pagi ini berakhir jam 12.00 tengahari dengan jayanya.

14 May 2010

PELANCARAN PROGRAM STRAIGHT A 2010




14 Mei 2010- Pengetua SMKTA, Tn. Haji Abdul Razak bin Mohamad telah melancarkan Program Straight A SMKTA 2010. Majlis pelancaran bermula jam 10.00 pagi di Restoran Wawasan, Blok Katering SMKTA. Program ini adalah dibawah seliaan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKTA.

Seramai 16 orang pelajar dipilih menyertai program ini iaitu 5 orang pelajar tingkatan 3, tujuh pelajar tingkatan 5, dan empat pelajar tingkatan 6 Atas. Kesemua pelajar yang dipilih adalah berdasarkan TOV peperiksaan Akhir Tahun 2009 dan pencapai dalam Ujian Bulan Mac 2010. Selain itu, kriteria lain yang diambil kira ialah pelajar yang tidak bermasalah disiplin.

Dalam majlis ini, empat orang bekas pelajar yang pernah mendapat straight A dalam peperiksaan dan sedang belajar di IPTA turut dijemput sebagai satu motivasi kepada pelajar. Antaranya ialah Cik Azizah bt. Ahmad yang kini sedang menuntut di Fakulti Undang-Undang UKM, dan Cik Fazilah bt Mat Daud yang sedang menuntut di UPSI.Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Amri bin Aminullah, GPK Pentadbiran, En. Ayub bin Abdul Rahim dan Cik Zaleha bt Rashid, GPK Tingkatan Enam.

PROGRAM TAFDIL JUMUAH MEMBENTUK DISIPLIN PELAJAR



Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di dalam Islam. Hari Jumaat, penghulu segala hari,banyak kelebihannya perlu dihayati. Oleh itu untuk mendidik pelajar SMKTA agar sentiasa menghayati kelebihan hari Jumaat, maka Badan Bina Insan SMKTA telah melaksanakan Program Tafdil Jumuah.

Program yang berlangsung sepanjang tahun ini memberi peluang kepada semua warga SMKTA bersama-sama menghidupkan hari Jumaat dengan amalan Selawat, Bacaan Zikir Munajat, Bacaan Surah Ya'Sin, Solat Hajat dan Doa. Selain itu, program ini juga bertujuan mewujud dan menyemaikan budaya membaca al-Qur'an serta budaya sentiasa mengingati Allah SWT.

Program yang bermula jam 7.40 pagi hingga 8.00 pagi ini dibahagikan kepada dua kumpulan secara bergilir-gilir, iaitu kumpulan yang berada di Dewan Terbuka untuk bacaan Surah Ya'Sin, dan kumpulan yang mendirikan Solat hajat di surau SMKTA. Bagi pelajar non-muslim pula program ceramah khas seperti ceramah Keburukan Meminum Arak, Kemahiran Komunikasi, Hormat-menghormati, dilaksanakan dibawah seliaan Tn. Haji Mohd Azman bin Mohd. Nor, penyelaras disiplin pelajar non-muslim.

13 May 2010

SELAMAT BERANGKAT


13 MEI 2010-Seramai 40 orang pelajar Asrama Puteri SMKTA dengan diiringi 4 orang guru pengiring yang diketuai oleh Cik Rozelianti bt Abd. Razak telah bertolak ke UPM, Serdang Selangor untuk menyertai program anjuran Yayasan Harapan Negara. Program ini akan berlangsung dari 13 hingga 16 Mei 2010.

Selain untuk menimba ilmu dan pengalaman, penyertaan pelajar Asrama Puteri ini juga menjadi sebahagian daripada program Asrama SMKTA tahun 2010. Dalam program ini, hanya pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima yang dipilih menyertainya.

PERATURAN MENGHADIRI KELAS TAMBAHAN / SEMINAR PADA WAKTU CUTI PERSEKOLAHAN


1. Semua pelajar yang mengikuti kelas tambahan/seminar adalah tertakluk kepada
peraturan-peraturan di bawah.
2. KEHADIRAN ke kelas tambahan/seminar adalah DIWAJIBKAN.
3. Semua peraturan-peraturan dan undang-undang disiplin sekolah perlu dipatuhi
sewaktu mengikuti menghadiri tambahan/seminar.
4. PAKAIAN: Memakai unifom sekolah lengkap atau memakai baju ko-kurikulum yang
lengkap dan berkasut.
5. Kehadiran dan waktu balik adalah mengikut waktu yang dijadualkan.
6. WAKTU REHAT: pelajar tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran atau arahan
yang membenarkan pelajar keluar daripada guru
7. Pelajar tidak dibenarkan terus berada di dalam kawasan sekolah selepas 30
minit setelah tambahan/seminar berakhir, kecuali di kawasan GAZEBO jika
menunggu ibu/bapa/penjaga.
8. Pelajar yang tidak berunifom lengkap, memakai selipar/sandal, seluar
jeans/seluar bukan unifom TIDAK AKAN DIBENARKAN memasuki kawasan sekolah.
9. Peraturan PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT adalah berkuatkuasa.
10. Guru / Pengawal Keselamatan (JAGA) adalah berhak tidak membenarkan pelajar
tidak memasuki kawasan sekolah sekiranya tidak mengikut peraturan yang
ditetapkan.

WARGA SMKTA GEMBIRA







Pada 6 Mei 2010, ketika merumuskan hasil pemantauan di SMK. Tengku Abdullah, Pekan, Pegawai Pelajaran Daerah Pekan , En. Yahya bin Zainal Abidin telah memaklumkan blok bangunan baru SMKTA boleh digunakan pada hari pertama penggal kedua sesi persekolahan 2010. Dengan itu penantian warga SMKTA untuk berpindah ke blok bangunan baru kini terjawab.
Bangunan blok empat tingkat yang baru ini dilengkapi dengan dewan serba guna, pejabat sekolah, bilik mesyuarat, bilik darjah serta bilik-bilik khas yang lain seperti bilik SPBT.
Bertindak proaktif dan selaras dengan makluman tersebut, langkah-langkah persediaan untuk berpindah telah diambil. Persediaan awal ini amat perlu bagi memastikan pada hari yang dinantikan itu, segalanya akan berjalan lancar, seperti sedia kala dan tanpa gangguan.
Tidak ketinggalan, kakitangan sokongan SMKTA turut sama berganding bahu bagi melancarkan urusan dan persediaan perpindahan. Pn. Sabariah, pegawai kerani di SMKTA berkata, beliau berasa begitu teruja dan tidak sabar untuk berpindah ke pejabat baru yang lebih luas dan selesa.

12 May 2010

TAKLIMAT PENGURUSAN KEWANGAN SMKTA


12 Mei 2010, Jam 2.00 petang, satu sesi taklimat kewangan telah diberikan oleh Tuan Pengetua SMKTA , Tuan Haji Abdul Razak bin Mohammad kepada ahli Jawatankuasa Kewangan Sekolah. Antara yang hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah semua GPK, Ketua-ketua Bidang, Guru Media, Penyelia Asrama dan Guru Unit B&K. Turut hadir CC dan kerani kewangan sekolah.


Antara aspek yang ditaklimatkan ialah berkenaan sumber kewangan sekolah, perancangan dan proses pembelian, pengurusan penerimaan dan rekod, serta penyimpanan. Turut ditekankan ialah peranan audit dalaman sekolah di bawah En. Sabaruddin bin Abd Wahab. Taklimat ini banyak memberi dan menambahkan kefahaman ahli Jawatankuasa Kewangan sekolah bagi menambahkan kecekapan pengurusan kewangan SMKTA.

WARGA SMKTA PERLU PRIHATIN KEHADIRAN ORANG TIDAK DIKENALI

Pada 12 Mei 2010, jam 1.40 petang, dua orang remaja yang tidak berunifom sekolah berkeliaran disekitar kedai koperasi sekolah. Salah seorang daripadanya dilihat menaiki tangga di Blok berhampiran Bilik Gerakan. Curiga dengan keadaan tersebut, GPK Hem telah merujuk daftar pelawat di pondok pengawal, dan didapati tiada pelawat yang mendaftar masuk sekitar jam 12.00 hingga 1.00 tengahari.

Bimbang berulanganya insiden yang penah terjadi di SMKTA, apabila seorang pelajar dipukul di luar kelas ketika keluar apabila tamat sesi sidang pagi, dan pada 2010, pernah terjadi seorang penjaga memukul seorang pelajar tingkatan tiga ketika keluar dari kawasan sekolah, GPK Hem telah meminta bantuan daripada pengawal keselamatan sekolah untuk menyiasat. Dua remaja berkenaan tidak mengendahkan pertanyaan tujuan mereka berada di kawasan sekolah dan terus beredar keluar. Salah seorang daripada remaja tersebut dikenalpasti bekas pelajar SMKTA yang belajar di Kelas Pendidikan Khas.

Apa yang dikesalkan terdapat segelintir pelajar SMKTA yang berhubung dengan orang remaja tersebut. Oleh itu pelajar diingatkan bahawa menjadi kesalahan yang boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya pelajar membawa masuk atau berhubung dengan orang yang tidak dikenali. Pelawat yang ingin berurusan juga perlu mematuhi peraturan seperti yang telah dinyata dipintu pagar sekolah.

Peraturan Pelawat
1. Anda berada di zon larangan merokok
2. Semua kenderaan tidak dibenarkan di bawa masuk ke kawasan sekolah
3. Lawatan ke asrama sila gunakan Pintu Pagar 3
4. Sila daftarkan nama di Pos Pengawal Keselamatan dan dapatkan Pas Kebenaran
5. Berpakaian sopan adalah amat dihargai
6. Segala urusan hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Pihak Pentadbiran Sekolah di pejabat
7. Tidak dibenarkan berurusan dengan murid sekolah tanpa kebenaran rasmi pihak sekolah
8. Tidak dibenarkan ke bilik darjah dan bilik-bilik khas tanpa kebenaran pihak sekolah
9. Tidak dibenarkan membawa murid keluar tanpa kebenaran rasmi pihak sekolah
10. Segala kemusykilan sila hubungi pihak sekolah di talian 09-4221261
11. Terima Kasih di atas kerjasama anda

KOPERASI SMKTA MENCATATKAN KEUNTUNGAN 100%

Pada 22 April 2010, jam 12.30 tengahari, Koperasi SMK Tengku Abdullah, Pekan telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Kali Ke-23. Dalam pembentangan agenda mesyuarat dan pembentangan penyata tahunan koperasi, Puan Zalila binti Jamaludin, Bendahari koperasi telah memaklumkan keuntungan kasar koperasi telah meningkat hampir 100% bagi Tahun 2009. Pada tahun 2009, Koperasi SMKTA mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM 40,010.46 berbanding keuntungan pada tahun 2008 sebanyak RM 21,586.09.

Pada tahun 2010, Koperasi SMKTA menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 20% yang mana nilainya adalah lebih kurang RM 200,000.00. Sasaran awal keuntungan adalah sebanyak RM 45,000.00. Sehingga Mac 2010 Koperasi SMKTA telah mengumpul jualan sebanyak RM 100.000.00.

Bagi meningkatkan perkhidmatan di kedai koperasi, dua orang pembantu telah diambil berkhidmat untuk membantu dan mengurangkan beban kerja ALK. Barang jualan dan perkhidmatan kepada pelajar juga ditambah. Perkhidmatan seperti fotostat dan binding kini lebih cepat. Stok baru tali leher, lencana dan baju T sekolah telah dijual di kedai koperasi.

11 May 2010

PELAJAR SMKTA MASIH TIDAK HIRAUKAN KESELAMATAN







11 Mei 2010, jam 7.15 - 7.35 pagi, GPK Hem telah meninjau pelajar yang datang ke sekolah dengan menunggang motosikal. Terasa kecewa kerana segala nasihat dan peringatan berkaitan kepentingan menjaga keselamatan terutama penggunaan topi keledar tidak diendahkan sama sekali. Daripada 48 orang pelajar yang dipantau, hanya 26 orang sahaja yang menggunakan topi keledar, sementara yang lain tidak berbuat sedemikian

Ekoran dari itu, Jawatankuasa Disiplin Sekolah diminta memikirkan cara dan kaedah terbaik bagi memastikan semua pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah menggunakan topi keledar.






Hasil dari pemantauan itu juga, masih terdapat segelintir pelajar tingkatan 5 yang menunggang motosikal di dalam kawasan sekolah. Oleh itu sukacita diingat bahawa pelajar tidak dibenarkan menunggang motosikal di dalam kawasan sekolah. Peraturan ini dikuatkuasakan demi keselamatan pelajar lain kerana terdapat segelintir pelajar yang menunggang dengan laju di kawasan sekolah dan cuba "test ekzos".





10 May 2010

PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN 6 BAWAH BERJALAN LANCAR



10 Mei 2010, proses pendaftaran pelajar tingkatan 6 Bawah SMKTA kemasukan 2010 telah dilakukan di ruang legar Blok Katering bermula jam 9.00 pagi. Proses pendaftaran diketuai oleh GPK Tingkatan Enam SMKTA, Cik Zaleha bt Rashid. Sehingga jam 11.00 pagi, seramai


60 orang pelajar telah mendaftar. Proses pendaftaran akan tamat jam 5.00 petang.


Pelajar yang telah mendaftar dikehendaki mengikuti taklimat oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, Pn. Anizah bt Khudri, bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Program Minggu Orientasi juga dilaksanakan sehingga hari Jumaat, 14 Mei 2010.


09 May 2010

LAWATAN GPK HEM KE ASRAMA PUTERI SMKTA


Pada 25 April 2010, jam 11.00 pagi, GPK Hem SMKTA telah melakukan lawatan ke Asrama Puteri SMKTA tanpa memaklumkan terlebih dahulu. Walaupun agak terkejut, waden asrama telah membawa GPK Hem melawat dan meninjau kebersihan dan keceriaan bilik-bilik di asrama, meninjau kebersihan bilik air serta persekitaran asrama.

Hasil tinjauan, GPK Hem berpuashati dengan kebersihan dan keceriaan bilik-bilik asrama. Namun mengharapkan agar buku-buku yang terdapat di dalam bilik disusun dengan lebih rapi. Bantal dan tilam yang tidak digunakan juga diarahkan disimpan ke dalam setor. Dua paip di tandas blok atas yang rosak ditukar dengan segera.

Hasil perjumpaan dengan penghuni asrama, pihak pentadbiran asrama akan bertindak segera di atas permintaan penghuni agar dibekalkan semula akhbar serta menggantikan aerial tv yang rosak.

GPK Hem juga menegur berkaitan kelas persediaan malam kerana hasil pemantauan didapati pelajar tidak menggunakan waktu tersebut sebaik mungkin dan terdapat pelajar yang bising. Waden memaklumkan bahawa usaha penambahbaikan akan dilakukan dengan segera.

08 May 2010

PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN 6 BAWAH 2010

Semua pelajar tingkatan 6 Bawah yang bakal mendaftar pada tarikh 10 Mei 2010 diingatkan agar mematuhi perkara berikut:

1. Memakai unifom sekolah yang lengkap.
2. Menjaga kekemasan diri terutama rambut bagi pelajar lelaki.
3. Mematuhi arahan guru yang mengendalikan proses pendaftaran.
4. Mematuhi peraturan sekolah.
5. Membawa segala dokumen seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran.
6. Pelajar yang ingin memohon tempat di asrama boleh mendapatkan borang di pejabat asrama.

Followers