
JK Kantin SMKTA bersama-sama dengan JK 3K serta Persatuan Geografi SMKTA telah melancarkan Kempen Hari tanpa Beg Plastik 2011 di Tapak Perhimpunan Sekolah pada tarikh 2 Mac 2011. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMKTA, Tn. Haji Abdul Razak bin Mohamad.
Kempen ini bertujuan untuk memastikan keadaan kebersihan di SMKTA yang semakin meruncing menjadi lebih baik. Masalah sampah hasil sikap tidak bertanggungjawab warga SMKTA yang membuang sampah merata-rata menjadikan keadaan kebersihan sekolah semakin tidak terkawal.
Hasil pemantauan berterusan pihak sekolah, terutama jawatankuasa 3K mendapati beg plastik yang digunakan untuk keropok merupakan elemen utama yang mencemar kebersihan sekolah. Ini kerana sikap warga SMKTA yang makan dan minum di luar kawasan kantin seperti di pondok-pondok rehat dan juga di dalam kelas.
Kempen yang akan dimulakan pada hari Jumaat 4 Mac 2011 telah menggariskan beberapa perkara iaitu:
1. Pada hari Jumaat setiap minggu, diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Beg Plastik SMKTA.
2. Pihak pengusaha kantin tidak akan menjual makanan di dalam beg plastik serta minuman di dalam cawan pakai-buang.
3. Penguatkuasaan peraturan sekolah yang tidak membenarkan pelajar makan-minum di luar kawasan kantin akan dipantau oleh Badan Pengawas Sekolah serta gur mengikut jadual yang ditetapkan.
Sewaktu majlis pelancaran tersebut juga telah diisytiharkan Pertandingan Kebersihan Antara Kelas akan dimulakan. Pertandingan ini akan dikendalikan oleh JK 3K sekolah yang diketuai oleh En. Shafezan Hamidi. Penyertaan adalah diwajibkan kerana semua kelas telah diberikan masa yang cukup untuk menceriakan kelas masing-masing.
Adalah diharapkan semua program yang dirancang akan mencapai matlamatnya. Kerjasama dan tanggungjawab semua warga SMKTA adalah diperlukan bagi menjayakannya.
No comments:
Post a Comment