Memaparkan berita aktiviti terkini sekolah terutama di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Murid

07 March 2011

Mesyuarat Agong SMKTA Kali Ke-36




Pada hari Sabtu 5 Mac 2011, Mesyuarat PIBG SMKTA kali ke-36 talah diadakan di Dewan Terbuka SMKTA, dari jam 8.30 pagi hingga jam 11.30 pagi. Mesyuarat kali ini melibatkan proses pemilihan YDP PIBG serta para AJK.

Pada kali ini, cenderamata disediakan kepada semua ibu bapa dan penjaga bertujuan menarik kehadiran, disamping pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan daerah Pekan serta Pameran prodok Al-Jabbar.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Adun Peramu, YB Ibrahim bin Awang Ismail.

05 March 2011

PATUHI PERATURAN MENGHADIRI KELAS TAMBAHAN

Sewaktu saya datang ke sekolah pada hari Sabtu 26.2.2011, sekitar jam 1.00 tengahari, masih kedapatan pelajar yang merayau-rayau di kawasan sekolah serta berada di dalam kelas setelah habis kelas tambahan. Oleh itu, pelajar diminta mematuhi peraturan ketika menghadiri kelas tambahan. Disini saya paparkan lagi peraturan tersebut:

PERATURAN MENGHADIRI KELAS TAMBAHAN / SEMINAR PADA WAKTU CUTI PERSEKOLAHAN

1. Semua pelajar yang mengikuti kelas tambahan/seminar adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah.
2. KEHADIRAN ke kelas tambahan/seminar adalah DIWAJIBKAN.
3. Semua peraturan-peraturan dan undang-undang disiplin sekolah perlu dipatuhi sewaktu mengikuti menghadiri tambahan/seminar.
4. PAKAIAN: Memakai unifom sekolah lengkap atau memakai baju ko-kurikulum yang lengkap dan berkasut.
5. Kehadiran dan waktu balik adalah mengikut waktu yang dijadualkan.
6. WAKTU REHAT: pelajar tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran atau arahan yang membenarkan pelajar keluar daripada guru
7. Pelajar tidak dibenarkan terus berada di dalam kawasan sekolah selepas 30 minit setelah tambahan/seminar berakhir, kecuali di kawasan GAZEBO jika menunggu ibu/bapa/penjaga.
8. Pelajar yang tidak berunifom lengkap, memakai selipar/sandal, seluar jeans/seluar bukan unifom TIDAK AKAN DIBENARKAN memasuki kawasan sekolah.
9. Peraturan PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT adalah berkuatkuasa.
10. Guru / Pengawal Keselamatan (JAGA) adalah berhak tidak membenarkan pelajar tidak memasuki kawasan sekolah sekiranya tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

ARAHAN
PENGETUA

5 JANUARI 2008

04 March 2011

Pantau Anak Anda, Bantu Pihak Sekolah





"Cikgu, rambut ke, budak yang nak belajar", begitulah satu "pertanyaan" seorang ibu kepada saya ketika dipanggil berbincang berkaitan salah laku disiplin pelajar di SMKTA. Itupun sekelumit kisah selain seperti disuruh bersumpah menjunjung al-Qur'an dan dituduh menggunakan barang rampasan pelajar.

Walau apa pun, yang hendak saya nyatakan ialah sebenarnya ibu bapa atau penjaga berperanan penting dalam isu yang ingin saya utarakan, iaitu soal penampilan pelajar SMKTA. Dalam dua bulan pertama persekolahan 2011, banyak kes yang melibatkan kekemasan pelajar cuba diatasi, terutama berkaitan dengan rambut dan seluar sekolah. Trend terkini pelajar SMKTA yang gemar memakai seluar yang sengaja dikoyak, rambut punk dan sebagainya, sebenarnya sudah pasti dapat dikesan dari rumah lagi.

Lihatlah contoh yang dipaparkan. Kadang-kadang menjadi isu sensitif apabila pihak JK Disiplin mengambil tindakan atau memberi amaran secara bertulis.

03 March 2011

Kejohanan Merentas Desa SMKTA 2011




Sekalung tahniah kepada semua warga SMKTA, terutama Unit Sukan yang diketuai oleh En. Zainizam kerana telah menjayakan Kejohanan Merentas Desa SMKTA 2011. Kejohanan ini dijalankan pada 3 Mac 2011, bermula jam 3.00 petang sehingga jam 5.00 petang.

Acara yang disertai murid tingkatan satu hingga tingkatan 6 Atas turut menyenaraikan kategori untuk murid Kelas Pendidikan Khas serta kategori "obesiti" dengan tujuan menggalakkan penyertaan semua murid.

Pelajar tingkatan 6 Atas pula bertugas sebagai urusetia serta pegawai kejohanan yang membantu guru.

02 March 2011

PELANCARAN KEMPEN HARI TANPA BEG PLASTIK


JK Kantin SMKTA bersama-sama dengan JK 3K serta Persatuan Geografi SMKTA telah melancarkan Kempen Hari tanpa Beg Plastik 2011 di Tapak Perhimpunan Sekolah pada tarikh 2 Mac 2011. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMKTA, Tn. Haji Abdul Razak bin Mohamad.

Kempen ini bertujuan untuk memastikan keadaan kebersihan di SMKTA yang semakin meruncing menjadi lebih baik. Masalah sampah hasil sikap tidak bertanggungjawab warga SMKTA yang membuang sampah merata-rata menjadikan keadaan kebersihan sekolah semakin tidak terkawal.

Hasil pemantauan berterusan pihak sekolah, terutama jawatankuasa 3K mendapati beg plastik yang digunakan untuk keropok merupakan elemen utama yang mencemar kebersihan sekolah. Ini kerana sikap warga SMKTA yang makan dan minum di luar kawasan kantin seperti di pondok-pondok rehat dan juga di dalam kelas.

Kempen yang akan dimulakan pada hari Jumaat 4 Mac 2011 telah menggariskan beberapa perkara iaitu:
1. Pada hari Jumaat setiap minggu, diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Beg Plastik SMKTA.
2. Pihak pengusaha kantin tidak akan menjual makanan di dalam beg plastik serta minuman di dalam cawan pakai-buang.
3. Penguatkuasaan peraturan sekolah yang tidak membenarkan pelajar makan-minum di luar kawasan kantin akan dipantau oleh Badan Pengawas Sekolah serta gur mengikut jadual yang ditetapkan.

Sewaktu majlis pelancaran tersebut juga telah diisytiharkan Pertandingan Kebersihan Antara Kelas akan dimulakan. Pertandingan ini akan dikendalikan oleh JK 3K sekolah yang diketuai oleh En. Shafezan Hamidi. Penyertaan adalah diwajibkan kerana semua kelas telah diberikan masa yang cukup untuk menceriakan kelas masing-masing.

Adalah diharapkan semua program yang dirancang akan mencapai matlamatnya. Kerjasama dan tanggungjawab semua warga SMKTA adalah diperlukan bagi menjayakannya.

25 February 2011

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2011


25 Februari 2011- TAHNIAH diucapkan kepada semua warga SMKTA , khasnya Jawatankuasa Bina Insan kerana telah Berjaya menganjurkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah, yang bertemakan Jejak Sunnah Rasulullah S.A.W.
Program sambutan yang diterajui oleh S/U Bina Insan SMKTA,Ustazah Faridah binti Zakaria telah melaksanakan beberapa aktiviti sebelum program sambutan seperti Pertandingan Mencipta Kain Rentang, Pertandingan Memasak, Infak dan gotong-royong berasaskan tema Jejak Sunnah Rasulullah S.A.W.
Pada hari sambutan pula pengisiannya ialah salawat, ceramah dan persembahan daripada murid-murid seperti Marhaban dan Nasyid oleh Kumpulan Nasyid Aspuri. Majlis selama dua jam ini mendapat kerjasama yang membanggakan daripada semua warga SMKTA. Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

24 February 2011

LUAHAN HATI 1

Sejak dari bulan Julai 2010 sehingga hari ini, inilah catatan pertama yang dihasilkan. Bukan apa, banyak aktiviti di bawah JK HEM SMKTA yang dijalankan tetapi tidak berkesempatan hendak dimuatkan disamping tiada kesempatan hendak diambil gambar.

Dalam soal pengurusan disiplin SMKTA, sehingga hari ini 24.2.11 telah banyak kes-kes disiplin yang dapat dikesan dan telah diambil tindakan bersama dengan Badan Disiplin Sekolah serta Unit Bimbingan. Antaranya kes pergaduhan (2 kes), kecurian kasut (3 kes), kecurian basikal ( 2 kes), Buli dan Peras Ugut (2 kes), Vandalisme (2 Kes melibatkan tandas pelajar)dan kes-kes kecil yang lain seperti berkaitan dengan kekemasan diri.

Masalah besar yang dihadapi bukanlah kes tersebut, tetapi ada kaitan dengan profesionalisme guru di SMKTA. Antara yang paling ketara ialah berkaitan Pengurusan Kad Disiplin yang masih belum lengkap. Harapan saya agar guru kelas dapat menyediakan kad disiplin bagi kelas masing-masing.

Antara kepentingan Kad Disiplin tersebut ialah:
1. Dapat mengelakkan guru melakukan tindakan yang tidak rasional kerana rasa geram guru dapat dilepaskan pada kad dan tindakan seterusnya dapat kita laksanakan mengikut ketetapan Kementerian Pelajaran.
2. Mengelakkan pelajar dilabel jahat kerana disebabkan kesalahan yang tidak seberapa.
3. Memudahkan pihak sekolah berbincang dengan ibu bapa atau penjaga. (Semua ibu bapa akan marah jika anak mereka dilabelkan jahat)
4. Memudahkan usaha pemulihan melalui Unit Bimbingan dan JK Bina Insan.

Followers